OGOS 2021

Rakyat Harus Perkukuh Semangat Jitu Tanpa Mengira Kaum, Budaya


KUCHING: Rakyat terutama generasi muda digesa supaya menghargai dan menghayati perjuangan serta pengorbanan pemimpin terdahulu yang telah menghadiahkan sebuah negara Malaysia yang kekal aman dan makmur.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, inilah legasi pemimpin terdahulu dan rakyat harus meneruskan perjuangan mereka.

Semangat persekutuan Malaysia ini harus difahami oleh generasi muda bahawa hanya dengan persefahaman dan semangat kesatuan, mereka berupaya menjadikan negara kekal stabil, maju dan aman damai, katanya dalam perutusan sempena menyambut Hari Kebangsaan esok.

Awang Tengah turut mengajak rakyat memperkukuhkan semangat perpaduan yang jitu tanpa mengira pegangan agama, bangsa, budaya dan latar belakang berbeza lebih-lebih lagi dalam negara berhadapan dengan pandemik Covid-19.

“Kita harus bersyukur kerana dapat merayakan sambutan ini dalam suasana aman dan damai. Semoga Hari Kebangsaan yang disambut pada tahun ini dapat dihayati dengan semangat syukur atas semua yang kita kecapi,” katanya.

Sumber dari : Jiwa Bakti